KUCHING: Fortescue Future Industries Pty. Ltd. (FFI), Australia, berhasrat melabur dalam pengeluaran hidrogen hijau dan ammonia di Sarawak.
Presiden FFI bagi Asia Tenggara, Allard Nooy menyatakan hasrat itu kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa mengadakan kunjungan hormat terhadap Awang Tengah di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Lawatan Allard Nooy ke negeri ini sebagai lawatan balasan Awang Tengah yang berkunjung ke Australia Barat pada Jun tahun ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak mengalu-alukan projek yang hendak dilaksanakan oleh syarikat terbabit di Sarawak.
Ia merupakan projek pengeluaran hidrogen hijau dan ammonia pertama dan terbesar di dunia apabila dilaksanakan kelak.
Awang Tengah berkata, projek yang dicadangkan itu sejajar dengan pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak (PCDS) 2030 yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan ekonomi, sosial inklusif dan kemampanan alam sekitar.
Allard Nooy memuji kepimpinan kerajaan negeri dalam mempercepatkan proses pelabur untuk melaksanakan projek yang dicadangkan.
Sebagai tambahan kepada projek yang dicadangkan, terdapat projek serupa yang lain turut dicadangkan di negeri ini.
Dengan memiliki banyak sumber semulajadi dan tenaga hijau boleh diperbaharui, Sarawak berpotensi menjadi hab pengeluaran hidrogen di wilayah ini, kata Awang Tengah.
Hadir sama Penaihat (SEM) MINTRED, Datuk Mohd. Naroden Majais, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED, Dulkornain Masron, Pegawai Tugas-tugas Khas MINTRED, Datu Liaw Soon Eng dan pegawai kanan dari EPU, SEB, LAKU, PETROS dan Pelabuhan Samalaju.
Sumber dari : Jiwa Bakti